Kunjung Hormat MUHIM ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Alhamdulillah, baru-baru ini delegasi dari Pertubuhan Multaqa Ahli Hadis Malaysia (MUHIM) telah mengadakan satu pertemuan rasmi dan kunjungan hormat ke atas Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan.
Pertemuan bermakna ini bertujuan untuk mengeratkan jalinan ukhuwah serta membincangkan peluang kerjasama strategik antara kedua-dua belah pihak.
Secara umumnya, perbincangan tertumpu kepada usaha sama untuk menyebarkan kesedaran dan kefahaman hadis yang sahih kepada masyarakat. Antara inisiatif yang dicadangkan termasuklah penyediaan bahan ilmiah digital untuk kegunaan di masjid-masjid, serta pemerkasaan pelbagai aktiviti dakwah dan pendidikan yang sedang digerakkan oleh MUHIM.
Pihak MUHIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan atas kesudian meluangkan masa menerima kunjungan ini. Semoga pertemuan ini menjadi titik tolak kepada kerjasama yang berterusan demi memartabatkan ilmu hadis dan memberi pencerahan yang bermanfaat buat seluruh umat Islam di negara ini.
